Minggu, Februari 05, 2012

Larangan menzahirkan kemiskinan dengan meminta-minta

Bismillahirrahmanirrahim... 

Baginda Rasulullah saw bersabda bahawa
Siapapun yang menghadapi kelaparan (kemiskinan) dan ia menzahirkan hal itu kepada manusia, maka kelaparannya tidak akan dijauhkan dan sesiapa yang membentangkan hal kelaparannya di hadapan Allah (dan memohon kepadaNya) maka Allah cepat akan kurniakan rezeki kepadanya, mungkin serta merta atau sedikit lambat.

Keterangan:
Siapapun yang meminta-minta dari orang tidak akan terlepas dari kemiskinan dan kelaparan.
Maksudnya, keperluannya tidak akan dipenuhi. Jika hari ini untuk satu keperluan ia meminta-minta dari
orang dan rupa-rupanya keperluan itu sudah dipenuhi maka esok hari dia akan menghadapi
keperluan yang lebih besar dan keadaannya berhajat akan berkekalan. Jika ia angkat tangan
untuk meminta dari Allah maka keperluan yang berkenaan akan dipenuhi dan keperluan yang lain
tidak akan dihadapinya ataupun jika ia menghadapi apa-apa hajat yang lain maka serta merta Allah swt
akan menyelesaikannya juga.

Di dalam sebuah Hadith yang lain mengenai perkara ini telah dinyatakan begini, iaitu sesiapa yang
membentangkan kemiskinan dan hajat sendiri di hadapan Allah, maka Allah swt akan segera
menjauhkan kemiskinannya -- baik dengan kekayaan yang segera ataupun kematian yang segera.

Kematian yang segera ada 2 maksud:

1. Kematiannya sendiri yang mana sebelum menderita kelaparan dan kesusahan ia mati, bererti
kesemua kesusahan pun berakhir beserta dengan kematiannya.

2. Kematian orang lain yang akan menjadi asbab kekayaannya. Disebabkan kematian yang
sedemikian ia akan memperolehi sebahagian dari hartanya sebagai waris ataupun orang yang mati itu
semasa meninggal dunia telah berwasiat agar sekian sekian bahagian dari hartanya diberi kepada si anu
(iaitu orang yang di dalam keadaannya susah telah hanya memohon kepada Allah sahaja).

Kisah Pengajaran BURUNG & ULAR YANG BUTA

'Kurd' adalah nama satu kabilah. Salah seorang ahli kabilah tersebut adalah seorang perompak yang
termasyhur. Dia telah menceritakan peristiwa mengenainya sendiri seperti berikut:


'Satu ketika aku bersama rakan-rakan sedang berjalan untuk merompak di satu tempat. Di dalam
perjalanan kami telah berehat di satu tempat di mana ada 3 batang pohon buah tamar -- dua yang
hidup dan berbuah, satu daripadanya kering. Aku melihat seekor burung berkali-kali ambil buah
tamar yang segar daripada pokok-pokok yang hidup dan membawanya ke pokok yang kering tersebut.


Melihatnya aku heran, sekurang-kurangnya sepuluh kali aku melihat burung tersebut membawa
buah tamar di atas pokok yang kering. Aku ingin melihat apakah burung itu buat dengan buah tamar
di atas pokok kering itu. Maka akupun menaiki pokok kering tersebut. Sampai ke puncaknya aku
melihat seekor ular yang buta menunggu di situ sambil membuka mulutnya. Aku memahami
bahawa burung tersebut membawa buah tamar yang segar dan meletak di mulut ular yang buta
tersebut. Melihat keadaan itu aku menerima pengajaran yang begitu besar, sehingga aku mula
menangis dan berkata: 


'Tuhanku! Nabimu saw telah memerintahkan untuk membunuh ular. Tetapi
apabila seekor ular yang sedemikian menjadi buta dan tidak mampu mencari rezeki, maka engkau
menggunakan burung untuk sampaikan rezeki kepadanya. Padahal aku hambaMu yang berikrar
tauhid kepada Engkau; alangkah sesalnya, Engkau membuat aku merompak orang!'Maka aku telah
diilhamkan, 'Pintuku untuk bertaubat telah terbuka'. Pada ketika itu juga aku telah mematahkan
pedangku yang aku gunakan untuk merompak harta benda orang. Lalu aku mula menjerit,'Ampunilah
dosaku, ampunilah dosaku'. Maka aku telah mendengar satu suara berbunyi,' Aku sudah
mengampunkan dosamu wahai hambaKu, Aku sudah mengampunkan dosamu'. Apabila aku
sampai kepada kumpulan rakan-rakan, mereka semua hairan dan mereka bertanya, 'Apakah yang
sudah berlaku kepada engkau?' Aku menjawab,'Aku telah menjadi sesat dan derhaka kepada Tuhan. Kini
aku berdamai dengan menyerah diri.' Selepas itu aku telah menceritakan keseluruhan peristiwa tadi.


Maka kesemua rakan-rakanku juga mematahkan senjata-senjata mereka yang digunakan untuk
merompak sambil berkata:'Kami juga berdamai dengan menyerah diri.' kami telah meninggalkan
kesemua harta yang telah kami rompak sekian lama, memakai kain ihram lalu mula berjalan ke arah
Makkah. Setelah berjalan selama 3 hari kami telah sampai ke satu kampung di mana kami menemui
seorang wanita yang tua dan buta. Dia telah bertanya dengan menyebut namaku samada di
dalam rombongan kami ada sesiapa ahli Kurd yang bernama itu. Rakan-rakanku telah menjawab, 'Ada'.

Maka dia keluarkan satu bungkusan pakaian lalu sambil memberinya kepada kami dia berkata:
'Sudah 3 hari anakku meninggal dunia. Ini adalah pakaian dia. Setiap malam setelah ia meninggal
dunia aku bermimpi Baginda Rasulullah mengarahkan aku supaya aku memberi semua
pakaian Allahyarham anakku kepada ahli Kurd yang bernama ini. Ahli kurd tersebut berkata, kami
semua telah memakai pakaian itu.


Di dalam kisah ini kedua-dua perkara tersebut memberi pengajaran: yaitu ular yang buta diberi
rezeki oleh Allah swt melalui burung dan pemberian pakaian kepada perompak yang bertaubat dari
pihak Rasulullah saw. Apabila Allah swt ingin membantu sesiapa maka amat mudah bagiNya
untuk menyediakan asbab. Sebab Dialah yang mencipta semua asbab-asbab kekayaan serta asbab
kemiskinan. Dengan berkat taubat yang sungguh- sungguh menerima pakaian dari pihak Rasulullah
saw juga satu kemuliaan yang besar. Peristiwa ini juga merupakan satu contoh bagaimana kekayaan
diperolehi dengan kematian yang cepat.

Rujukan buku Fadhilat Sedekah Jilid 1&2 m.s 634.
Published with Blogger-droid v2.0.4

Tidak ada komentar:

Posting Komentar