Minggu, Maret 04, 2012

Apakah boleh bertabarruk dengan Wali-wali Allah dan Orang-orang Soleh...???

Kata al-Syaikh Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf:
Telah datang banyak dalil yang menerangkan perihal disyariatkan untuk bertabarruk dengan jasad
dan athar (peninggalan) Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, seperti rambutnya, keringatnya, pakaiannya
dan sebagainya. [1]
Adapun selain Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, dikalangan para wali Allah dan orang-orang soleh,
maka tidak ada dalil yang sahih dan sarih (jelas) yang menerangkan pensyariatan bertabarruk
dengan jasad mahupun athar mereka. Malah tidak diriwayatkan dari seorangpun dari kalangan
para sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, tidak juga diriwayatkan dari kalangan tabi’in perihal
mereka bertabarruk dengan jasad atau athar seorangpun dari orang-orang soleh. Mereka tidak
bertabarruk dengan generasi terbaik umat ini selepas Nabi sallahu ‘alaihi wa sallam, iaitu Abu
Bakar as-Siddiq radhiallahu ‘anhu, atau sepuluh orang sahabat yang dijanjikan syurga, tidak juga
dari kalangan Ahli Bait dan selain mereka. Sekiranya perbuatan tersebut (bertabarruk dengan
orang soleh) baik, sudah pasti mereka telahpun mendahului kita di dalam melakukannya. Kerana
keinginan mereka yang sangat kuat untuk melaksanakan semua jenis kebajikan dan kebaikan.
Maka, ijmak mereka dalam meninggalkan tabarruk dengan jasad dan atsar (peninggalan) selain
Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wa sallam dari kalangan para solihin merupakan dalil yang jelas
tentang tidak disyariatkan bertabarruk dengan perkara tersebut.
Lebih berat lagi, sesungguhnya bertabarruk dengan zat atau athar seseorang dari kalangan
orang-orang soleh selain Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam merupakan maksiat kepada
Allah ta’ala, dan maksiat kepada Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam, serta memberikan
pengkhususan yang dikhususkan oleh Allah kepada Nabi Sallahu ‘alai wasallam kepada manusia
lain juga, dan menyamakan mereka dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Menyamakan para wali
dan orang-orang soleh dengan manusia terbaik dan penghulu anak adam, iaitu Nabi sallahu
‘alaihi wasallam akan mengurangkan hak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, dan merupakan bukti
kurangnya kecintaan kepada Nabi 'alahi solatu wassalam di hati ahli tabarruk (peminta
keberkatan).
Diantara jenis tabarruk yang diharamkan dengan orang-orang soleh ialah:
1. Mengusap mereka, memakai pakaian mereka, atau meminum sebahagian minuman
mereka bagi mendapatkan keberkatan.
2. Mengucup kubur mereka, mengusapnya, dan mengambil batu-batunya bagi mendapatkan
keberkatan. Kebanyakan ahli ilmu telah mengkhabarkan tentang ijma’ ulama dalam
melarang perbuatan sedemikian.[2] Abu Hamid al-Ghazali al-Syafie (Imam al-Ghazali –
pent.) (wafat tahun 505H), dan lain-lain ulama al-Syafi’iyah dan al-Hanafiyah menyebut
bahawa perbuatan tersebut merupakan adat-adat Nasrani. Sebahagian ulama al-Syafi’iyah
dan al-Hanafiyah menyebut bahawa menyentuh kubur dengan tujuan bertabarruk adalah
salah satu dari dosa besar.
3. Beribadah di sisi kubur mereka bagi meminta keberkatan, dengan meyakini kelebihan
beribadah kepada Allah di sisinya, dan dengannya dijadikan sebab diterima ibadah dan
mustajabnya doa.
_____________________________________
[1] Adapun selepas wafatnya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam adalah dilarang kerana bebeberapa
sebab yang telah disebutkan diawal artikel asal.
[2] Lihat risalah Ziaratu al-Quburi wal-Istinjadu bil-Maqburi (halaman 24-32), al-Istighathah fi al-
Raddi ‘ala al-Bikri (1/356), Majmu’ al-Fatawa (4/521, 26/97, 109-27/79, 294-136), al-Ikhtiyarat al-
Janaiz (halaman 92), As-Sorimu al-Mankiy (halaman 109-178), az-Zawajir : al-Kabiratu (93-98,
1/149)
Sumber: http://ibnabiashim89.blogspot.com

Published with Blogger-droid v2.0.4

Tidak ada komentar:

Posting Komentar